Sunday 18 March 2012

Mia ingat pesanan kakak

DIA mungkin tidak popular seperti kakaknya, Anzalna Mohd Nasir, namun kemunculan pertama Nor Amira Nadia atau Mia dalam drama Tudung Tweet yang disiarkan di TV9 tahun lalu, berjaya mencuri tumpuan.
Senang bekerja dan percaya dengan bakat semula jadi dimiliki menyebabkan Mia sekali lagi dilamar penerbit dan pelakon yang menghasilkan Tudung Tweet, Liyana Jasmay untuk membintangi telefilem terbaru produksi Mermaid Production milik Liyana.

Mia yang ditemui ketika menemani Anzalna mengadakan sesi fotografi bersama Selebriti menjelaskan, kakaknya bertanggungjawab membawanya ke dunia lakonan.
Katanya, dia berminat mencuba dunia lakonan jika berpeluang, apatah lagi dia sering membabitkan diri dalam drama pentas sewaktu menetap di Australia.

“Anzalna memberikan nama saya kepada pengarah untuk menjadi pelakon tambahan sewaktu membintangi telefilem Ramadan Terakhir. Menerusinya, seorang jurusolek produksi terbabit memberikan nama saya kepada Mermaid Production untuk membintangi Tudung Tweet.

“Tidak sangka ia mendapat sambutan. Kemudian saya ditawarkan membintangi satu lagi drama terbitan produksi sama, Paris Masuk Kampung untuk Astro,” katanya.

Akui Mia, kakaknya banyak memberi dorongan, malah saling tegur-menegur bagi membaiki persembahan lakonannya. Dia menerima apa saja pandangan kakaknya memandangkan Anzalna lebih berpengalaman.

“Saya masih ingat pesanan Anzalna, apabila berlakon cuba jadi diri sendiri. Maksudnya, masukkan karakter dalam diri supaya nampak ‘natural’ dan jangan terlalu mencuba kerana ia akan nampak cacat dan pengarah boleh menilai perkara itu.
“Lebih penting, jangan terlalu ‘simpan’ emosi sewaktu ekspresi watak. Semua yang dikatakan itu saya gunakan setiap kali berada di lokasi,” katanya.

Mengenai dirinya dibandingkan dengan Anzalna, Mia berkata, kakaknya jauh lebih bagus dan dia masih dalam proses belajar.

“Pastinya saya tidak dapat lari jika perkara itu berlaku. Saya bersikap terbuka dan kami sama-sama melakukan yang terbaik. Yang penting, saya suka apa dilakukan sekarang dan ia pengalaman berharga, apatah lagi saya jenis yang sukakan cabaran baru,” katanya.

Bekerja tetap bukan masalah untuk dia meneruskan minat dalam dunia lakonan. Kata Mia, majikannya selalu memberikan galakan melakukan perkara yang dia minat.

“Syarikat tempat saya bekerja sangat fleksibel. Apabila saya katakan mahu bercuti seminggu kerana terbabit dalam telefilem Paris Masuk Kampung, mereka membenarkan dan waktu sama seperti tidak percaya saya akan melakukannya, terutama penggambaran dilakukan di Mersing, Johor,” katanya.

Bekerja dengan mereka yang berpengalaman sepanjang membintangi Paris Masuk Kampung sangat menyeronokkan, terutama apabila bergandingan dengan Liyana dan Elfira Loy.

Baginya, keserasian diperoleh sebelum ini sewaktu sama-sama membintangi Tudung Tweet memudahkan kerja.

Mengenai perancangan masa depan, gadis manis yang bekerja sepenuh masa di pejabat menjelaskan, dia tidak meletakkan sebarang harapan dan hanya mengikut arus. Yang pasti, dia tidak mahu terlalu tamak kerana takut apa yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.

No comments:

Post a Comment