Sunday, 18 March 2012

CAK: Johan ikut sama

INGAT tak minggu lalu, CAK ada beritahu penyanyi utama kumpulan Search, Amy membawa keluarganya bercuti ke Tokyo, Jepun. Turut sama dalam rombongan itu anak perempuan sulungnya yang juga dramatis popular, Nabila Huda.
Bagaimanapun, ada yang menghubungi CAK dan memberitahu, sebenarnya bukan ahli keluarga Amy saja yang ikut, tetapi bakal menantunya juga ada bersama.

Mendengarkan kenyataan itu membuatkan dahi CAK berkerut dan memikirkan siapa orang dimaksudkan itu. Setahu CAK, Amy tidak ada anak perempuan dewasa kecuali Nabila. Itupun pelakon drama bersiri Pelangi Kasih pula baru saja berpisah dengan suaminya.
Bila CAK ajukan soalan ini, terus dia marah dan katanya CAK sengaja pura-pura buat tak tahu. Dakwanya, tak mungkin CAK tidak tahu dengan siapa Nabila bercinta.

Sambil menggaru kepala CAK sebut nama Johan atau lebih popular dengan panggilan Botak, terus dia mengiyakan.

Katanya lagi, peluang bercuti bersama ini boleh digunakan untuk Amy mengenali Botak dengan lebih rapat, dan siapa tahu jika keserasian antara keluarga sudah ada, bolehlah lepas ini Botak dan Nabila fikir soal berumahtangga.

Betul juga, membawa buah hati bercuti dengan keluarga tersayang satu strategi bagus untuk memastikan bakal suami diterima baik. Namun setahu CAK, sebelum ini kedua-duanya memberitahu umum, mereka hanya berkawan rapat.

Adakah percutian ini membawa makna mereka masuk ke dalam fasa lebih serius dalam hubungan mereka. Nampaknya pulang dari Jepun nanti, pasti ramai akan bertanya. Bersiap sedialah ya Johan mahupun Nabila.

No comments:

Post a Comment