Sunday 18 March 2012

Akrab adik, abang

KEAKRABAN dua sahabat ini sering disalah erti umum hingga timbul gosip mengatakan pelakon Sharifah Amani Syed Zainal Rashid atau Nani dan pengarah Azma Aizal Yusoof (Azma) bercinta.
Mendengarkan khabar angin ditimbulkan, kedua-dua insan seni ini hanya mampu tersenyum. Waktu sama, Nani mahupun Azma hairan mengapa gosip sedemikian boleh timbul.

Ditemui di majlis mempromosikan drama bersiri Pulau arahan Azma baru-baru ini, kedua-duanya mengakui sangat akrab. Mereka menyifatkan hubungan terjalin antara mereka seperti adik dan abang.
Jelas Nani, dia boleh membicarakan apa saja perkara apabila bersama Azma, apatah lagi mereka turut mempunyai minat mendalam membabitkan dunia lakonan dan perfileman.

“Orang tidak faham bagaimana rapatnya kami. Malah, saya turut rapat dengan Bront Palarae. Mereka berdua saya anggap seperti abang. Apabila bersama, kami jarang berbual kosong, sebaliknya perbincangan berkisar mengenai idea dan dunia lakonan.

“Sebagai kawan baik, mereka juga telus dan jujur. Azma mahupun Bront akan memberikan kritikan membina jika lakonan saya dirasakan perlu diperbaiki lagi.

“Sebagai pelakon, saya perlukan orang seperti mereka untuk memastikan persembahan dalam filem mahupun drama akan terus segar dan relevan,” katanya.

Keakraban terjalin turut membuatkan Nani dan Azma dilihat sangat sinonim dalam setiap telefilem mahupun drama dihasilkan. Ibaratnya, apa saja karya dihasilkan Azma, pasti ada Nani.
Buktinya, hampir sebahagian besar drama dihasilkan seperti Cita & Cinta, Kashaf Imani dan Pelarian disiarkan menerusi slot Cerekarama baru-baru ini, turut menampilkan pemenang anugerah Aktres Terbaik di Anugerah Skrin 2010 itu selaku pelakon utama.

Terbaru, Nani turut membintangi drama bersiri Pulau yang kini disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 malam di TV9.

Melihat perkembangan ini, timbul cakap belakang mengatakan wujudnya kroni antara mereka berdua. Menjelaskan perkara itu, pelakon utama filem Sepet dan Gubra ini menyatakan, orang luar tidak sepatutnya membuat andaian begitu, apatah lagi sebagai sahabat, Azma sentiasa ada di sampingnya di waktu susah dan senang.

“Dakwaan itu bagi saya agak keterlaluan, sedangkan orang tidak tahu apabila saya sedih dan ‘terduduk’ membabitkan hal peribadi, Azma orang pertama yang akan datang ‘meminjamkan’ bahu untuk saya menangis.

“Menyentuh mengenai kroni atau hanya mahu bekerja sesama sendiri, hanya satu penjelasan saya iaitu kami memang kenal antara satu sama lain dan ia menjadi bonus untuk kami bekerjasama dengan lebih mudah dan lancar,” katanya.

Bagi Azma pula, sebagai pengarah, sudah tentu dia mahu bekerja dengan pelakon bagus dan turut menyifatkan rakan baiknya memiliki bakat besar.

Persembahan (lakonan) diberikan dalam drama dihasilkan tidak pernah mengecewakan.

“Saya memulakan kerjaya dalam bidang ini sebagai pelakon. Dalam berkarya, pada saya ada dua elemen penting harus diberikan penekanan iaitu jalan cerita yang bagus dan mainan karakter mantap. Oleh itu, saya selalu menjaga persembahan pelakon.

“Pada saya, bukan Nani saja. Saya juga suka bekerja dengan pelakon lain yang memiliki bakat besar dan sangat saya kagumi seperti Noorkhiriah yang banyak kali tampil dalam drama dihasilkan mahupun Fatimah Abu Bakar. Apabila mereka dapat memberikan apa yang dimahukan, saya rasa sangat puas berkarya,” katanya.

Azma tidak menafikan keakraban yang terjalin antara dia dan Nani membuatkan dia senang untuk bekerja dengan anak didik Allahyarhamah Yasmin Ahmad itu.

“Saya akui keakraban terjalin membuatkan kami sangat serasi apabila bekerja. Sebagai pelakon, Nani faham apa yang saya mahukan. Waktu sama kami selalu berbincang dan idea diberikan Nani akan dizahirkan dengan baik dalam drama yang saya arahkan sehingga penonton turut menggemarinya,” katanya.

No comments:

Post a Comment