Sunday 18 March 2012

Dugaan Ogy

PERSAINGAN baru bermula tetapi dugaan paling besar diterima Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy sebagai seorang daripada Mentor musim enam (Mentor 6), apabila dilaporkan menerima ugutan daripada lelaki tidak dikenali.
Menurut pihak pengurusan TV3, lelaki misteri terbabit menghubungi Ogy beberapa kali dan memintanya mengundurkan diri daripada meneruskan hasratnya menjadi mentor musim baru yang bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam bermula malam ini.

Bukan itu saja, lelaki terbabit didakwa memberitahu pelakon dan penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-Bunga Berguguran itu pihak pengurusan merancang perjalanan rancangan Mentor pada tahun ini dan juaranya sudah ditetapkan.
Tambah lelaki terbabit, segala usaha bakal Ogy lakukan terhadap protegenya, Noor Nadatul adalah kerja sia-sia.

Penuh yakin, pemanggil itu turut menyatakan bahawa TV3 akan memastikan Faizal Tahir bersama protegenya, Anas menjadi juara, sekali gus memenangi wang tunai RM100,000.

Sewaktu dihubungi, Ogy mengakui perkara itu berlaku dan ia sudah diketengahkan ke pengetahuan pihak pengurusan TV3.

Jelas Ogy, dia tidak dapat mengesan lelaki yang membuat panggilan kerana pemanggil bijak menyembunyikan identiti, termasuk nombor telefon yang sepatutnya tertera di skrin tidak berlaku.

“Puas juga saya cuba mengesan orang yang membuat panggilan terbabit, tetapi gagal. Terus terang, saya terperanjat apabila menerima ugutan sedemikian. Tidak dinafikan, waktu sama saya ajukan perkara ini kepada pihak pengurusan TV3, jika mereka boleh membantu.
“Memang saya tidak gemar menerima panggilan seperti ini. Saya juga hairan bagaimana lelaki terbabit tahu nombor telefon saya. Pada saya, memang orang itu berniat jahat kerana menggunakan nama TV3 dan Faizal Tahir. Sudah tentu antara niatnya adalah untuk melaga-lagakan kami.

“Pada saya, orang membuat panggilan itu berfikiran sempit kerana sejak awal lagi saya nyatakan pembabitan dalam rancangan Mentor dengan niat berkongsi pengalaman.

“Mentor itu sendiri sebuah rancangan realiti TV yang mencungkil bakat baru dalam bidang seni suara. Persaingan berlaku secara sihat,” katanya.

Bercerita dengan lebih terperinci mengenai panggilan diterima, kata Ogy, pemanggil itu menyerangnya tanpa memberikan ruang untuk dia bercakap.

Kali pertama lelaki misteri itu membuat panggilan sehari selepas TV3 mengadakan sidang akhbar memperkenalkan artis dan penyanyi terbabit sebagai Mentor.

“Tersentak juga saya apabila menerima panggilan begitu, tetapi saya hanya diamkan. Kemudian sewaktu hari saya menjalankan uji bakat untuk mencari protege, dia sekali lagi menghubungi saya. Terbaru, beberapa hari lalu dan saya hairan apa motifnya.

“Begitupun, dia sering menyebut nama Faizal Tahir. Saya percaya Faizal tidak mungkin melakukan perkara sedemikian rupa.

“Cara pemanggil itu menjual nama Faizal juga sangat tidak elok. Lagipun, dia tentu sibuk dan fokus terhadap protegenya. Usah ada cubaan melaga-lagakan kami,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Ogy, perkara yang berlaku tidak pernah mengganggu tumpuannya dan waktu sama tekad tidak mahu melayani apa saja perkara yang boleh mendatangkan aura negatif.

Apatah lagi pihak TV3 memberikan kepercayaan dan yakin dengan kredibilitinya membentuk bintang baru.

Bercerita mengenai protegenya, jelas Ogy, Zatul memenuhi ciri yang diinginkan untuk dibentuk menjadi penghibur.

Pada Ogy, kekuatan Zatul atau nama penuhnya Noor Nazatul Farahin adalah dia memiliki tahap keyakinan tinggi, pembawaan diri yang baik dan cepat menyerap ilmu diajar.

No comments:

Post a Comment