DALAM
dunia yang penuh tohmah dan buruk sangka ini, manusia sering
bertelingkah kerana tidak mengetahui kebenaran. Ada segolongan kecil
yang bijak melakukan fitnah kerana hasad dengki dan terlalu cintakan
dunia sehingga umat Islam sering bermusuhan sesama sendiri, sekali gus
merendahkan nilai dan maruah agama di mata bukan Islam. Ia juga menjadi
sebab umat Islam semakin jauh daripada ukhuwah dan silaturahim
berasaskan takwa malah merenggangkan persaudaraan.
Sebagai
penganut agama yang menganjurkan umatnya hidup rukun dan damai, kita
dilarang melakukan perkara yang menjejas dan merosakkan hubungan baik
sesama manusia. Allah berfirman (Surah Al-Hujuraat: 12) bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian
dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”
Allah
mengingatkan kita, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia
timbul daripada perasaan iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia
juga menyebabkan timbul tuduhan berasas kerana orang lain turut serta
melakukan perbuatan serupa. Ini menambahkan lagi prasangka buruk sedia
ada. Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan meluaskan penyebaran
maklumat yang boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat
pertimbangan antara fitnah dan hak.
Oleh
itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah, kita perlu menjaga
pertuturan dengan berbicara yang baik saja atau berdiam diri seperti
sabda Rasulullah, maksudnya:
“Barang
siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia
berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam.”(Hadis riwayat Iman
Al-Bukhari)
Buruk
sangka dengan hasrat mempengaruhi minda orang lain supaya turut
membenci saudara seagama adalah perbuatan jahiliah kerana tamakkan dunia
dan terlalu cintakan isinya yang menjadi bahan bakar neraka. Banyak
yang boleh diteladani daripada kisah sahabat Rasulullah dan sejarah
sehingga boleh menggadaikan negara dan agama akibat buruk sangka. Ini
patut menjadi iktibar setiap umat Islam yang cintakan agama. Jika tidak
kerana buruk sangka menjadi padah kepada umat Islam, mustahil Allah
memperincikan betapa penting menyelidiki maklumat yang disampaikan
seseorang kerana bimbang kita turut mempercayai dan menjadi penyampai
kepada fitnah terhadap orang lain.
Allah mengingatkan kita dalam al-Quran (Surah Al Hujuraat: 6) bermaksud :
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya.”
Kerana
buruk sangka, menyebabkan putus silaturahim. Sebab itu, perpaduan umat
Islam akan goyah malah menjadi laba kepada musuh yang sentiasa
menantikan saat kehancuran manusia yang dibimbing dengan perintah dan
larangan Allah. Satu demi satu keistimewaan umat Islam yang tiada
bandingannya diselongkar dan dibinasakan dengan janji syurga di dunia
mengakibatkan janji Allah mengenai hari pembalasan dipandang sebelah
mata. Perkataan dusta yang dibawa orang fasik pula dikitabkan menjadi
rujukan utama.
Untuk
menjauhkan diri daripada terus melakukan fitnah terhadap setiap umat
Muhammad, kita hendaklah membataskan prasangka buruk terhadap seseorang
setakat dalam hati tanpa meluahkan atau memberitahu orang lain, apatah
lagi meyakinkan orang lain supaya mempunyai perasaan serupa. Sebagai
manusia, kita mempunyai kata hati yang lahir daripada pelbagai faktor
dalaman diri sendiri yang boleh menerajui tindak tanduk kita seperti
berprasangka.
Allah berfirman (Surah Al-Hujuraat: 12) bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu
tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian
dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau
mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan
daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka
sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan
yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah
penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
Justeru, prasangka yang boleh mendatangkan dosa wajib dijauhi jika kita sayangkan kehidupan sesudah mati. Sebaliknya, tukarkan buruk sangka dengan kasih sayang dan belas kasihan sesama umat bersaudara kerana itulah asas sebuah kehidupan berkeluarga yang berpaksikan Adam dan Hawa.
No comments:
Post a Comment