Sunday 18 March 2012

Belajar menerima takdir

NERAKA DUNIA...sentiasa dikawal ketat.
NERAKA DUNIA...sentiasa dikawal ketat.
MELIHAT riak wajahnya, sukar mempercayai wanita berbangsa Cina yang hanya mahu dikenali sebagai Bella ini adalah banduan, apatah lagi dia dituduh membunuh teman lelakinya.
Berusia 37 tahun dan berasal dari Selangor, nyata terbit seribu kekesalan pada wajah wanita berkulit mulus ini. Bella didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dengan niat sebelum diturunkan kepada Seksyen 304 kanun sama kerana bunuh tanpa niat dan dijatuhi hukuman 12 tahun penjara

Sambil menitiskan air mata, Bella memulakan bicara sepatah demi sepatah.
Mengakui kesal pada awalnya, namun sedikit demi sedikit dia cuba menerima ketentuan dunia.

“Bulan ini, genap dua tahun saya di sini. Sepanjang hayat, tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran akan menjejakkan kaki di penjara. Namun takdir tuhan tiada siapa tahu.
“Begitu juga saya yang tidak pernah terfikir akan jadi penghuni penjara pada usia 37 tahun,” katanya yang sebelum ini bergelar guru muzik di sebuah pusat beli-belah terkenal.

Menurut Bella, titik hitam yang berlaku dalam hidupnya bermula selepas dia pulang bekerja pada awal pagi di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Sebaik membuka pintu utama, dia terkejut apabila mendapati sekujur tubuh kaku tidak bernyawa tertiarap di bahagian ruang tamu rumah pangsanya.

“Waktu itu saya terkejut dan panik seketika. Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana pertama kali berdepan situasi seperti itu. Saya kemudian mengambil sarung tangan dan itulah kesilapan paling besar dalam hidup apabila saya menyentuh dan menggoncangkan badan mangsa.

“Tindakan itu juga secara tidak langsung menjerat diri sendiri kerana cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) saya terlekat pada sarung tangan,” dakwanya yang pernah berkahwin dan bercerai.

Tidak lama kemudian, polis tiba sebelum menahan Bella bagi membantu siasatan kerana dia satu-satunya saksi yang ada di tempat kejadian.

Ditanya perasaannya ketika dijatuhi hukuman, dengan tenang dia menjawab, ketika itu dia seakan-akan tidak berpijak di bumi dan merasakan hidupnya musnah.

Perit untuk diterima, namun Bella tiada pilihan dan terpaksa reda dengan ujian paling hebat dalam hidupnya. Mujur keluarga banyak memberi sokongan moral dan sentiasa bersamanya di saat suka dan duka.

“Saya rasa bertuah kerana keluarga sentiasa di sisi menemani. Mereka juga tidak pernah menyisihkan saya, malah datang melawat setiap bulan. Sokongan yang tidak pernah berbelah bagi menyebabkan hidup lebih tenang dan saya belajar menerima takdir yang ditetapkan,” kata anak sulung empat beradik ini.

Pengalaman di dalam penjara banyak mengajarnya erti kehidupan sebenar. Mengakui janggal pada awalnya, namun selepas beberapa bulan Bella dapat membiasakan diri, apatah lagi dengan rakan senasib.

“Terus terang, dulu saya ingat penjara adalah tempat yang teruk, kotor dan membosankan, tapi kini selepas menjadi penghuni, saya tidak pernah rasa seperti yang orang luar katakan. Semua itu hanya momokan semata-mata.

“Meskipun kehidupan kami hanya di sebalik tembok, kami tidak pernah jemu atau bosan kerana sentiasa sibuk dengan aktiviti menyeronokkan dan membina keyakinan diri,” katanya.

Hampir dua tahun menjadi penghuni penjara, banyak perkara dipelajari Bella, antaranya menjadikan hidupnya lebih berdikari dan sentiasa matang.

“Rutin harian di sini sangat berbeza dengan kehidupan di luar. Setiap hari kami perlu mencuci sendiri penjara kerana kebersihan sangat dititikberatkan.

“Saya juga banyak belajar mengenai kemahiran, misalnya cara membuat kek dan roti, mencanting batik, buat gula-gula dan kraftangan yang akan diaplikasikan sebaik keluar dari sini,” katanya yang dijangka keluar pada 2018.


Gagal kawal marah kerana tandas

SEGALA-GALANYA malap bagi seorang gadis apabila ditahan polis selepas dituduh melakukan kekerasan terhadap adik perempuan kandungnya beberapa hari sebelum dia sepatutnya disahkan jawatan sebagai penolong akauntan di sebuah syarikat swasta terkenal negara.

Selain menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengawal sifat panas baran, dia terkilan adiknya tergamak membuat laporan polis hingga menyebabkannya terperuk dalam penjara akibat kesalahan tidak seberapa.

Lebih mengecewakan, darah daging sendiri sanggup ke balai polis bagi ‘mengenakannya’, sedangkan keesokannya si adik bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hanya mahu dikenali sebagai Siti, 24, semuanya gara-gara salah faham dan masalah keluarga yang sepatutnya boleh diselesaikan secara baik.

“Saya mengaku memang saya panas baran dan ada kala tidak dapat tahan perasaan itu, terutama apabila marah. Mungkin juga disebabkan saya mewarisi darah keturunan ayah yang berasal dari Qatar.

“Apabila kemarahan saya pada tahap maksimum, tubuh badan menggigil dan saya tidak mampu bercakap walau sepatah,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Peristiwa itu berlaku hujung tahun lalu ketika tiada siapa di rumah keluarganya kecuali dia dan adik bongsu perempuannya. Orang tuanya juga sudah berpesan kepada dua beradik ini supaya jangan bergaduh dan buat hal sendiri.

“Sebelum keluar, mama berpesan kepada adik supaya jangan ganggu saya dan buat hal masing-masing, apatah lagi dia bakal menduduki SPM keesokan harinya. Ketika menonton televisyen, tiba-tiba saya sakit perut lalu bergegas ke tandas.

“Saya dapati adik berada di dalam tandas lalu menyuruhnya keluar sebab tidak tahan mahu buang air, namun dia tidak mengendahkan saya, malah mengejek dengan suara menyakitkan hati.

“Saya bengang dan terus naik marah. Sebaik dia keluar daripada tandas, saya mencampakkan sebakul kain yang sudah dikeringkan ke arahnya sebagai tanda tidak puas hati (hingga menyebabkan kecederaan),” katanya yang kehilangan ayah tercinta akibat serangan jantung.

Selepas kejadian itu, Siti merasakan ia berakhir dan terus menonton televisyen sebelum masuk ke bilik. Tidak berapa lama kemudian, pintu biliknya diketuk dan dia terkejut apabila mendapati dua anggota polis menyuruhnya mengikut ke balai akibat kekasaran yang dilakukan terhadap adik kandungnya.

Siti kemudian dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil untuk direman selama empat hari sebelum dibawa ke Mahkamah Jalan Duta untuk dibicarakan.

“Waktu itu saya kehilangan kata-kata dan rasa ‘down’ apabila adik kandung sanggup menganiaya. Siapa tidak sedih bila darah daging sendiri tergamak melakukan perbuatan yang tidak patut berlaku, malah boleh diselesaikan secara aman.

“Perasaan kecewa, marah dan geram semuanya ada, namun apa yang mampu saya lakukan? Mujur mama masih percaya dan terus memberi sokongan untuk saya melalui hari-hari mendatang di sini. Saya juga hampir putus asa kerana kehilangan kerjaya yang diimpikan selama ini.

“Saya bercita-cita menjadi akauntan berjaya. Untuk merealisasikan impian itu, saya perlu menghadiri lima kali temu duga sebelum diterima bekerja, namun kini semuanya hilang dalam sekelip mata,” katanya kesal.

Meskipun tidak biasa dengan kehidupan di penjara, Siti dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit. Dia sedar setiap yang berlaku pasti ada sebab.

Siti kini menerima kenyataan dia bergelar banduan, namun sokongan diterima daripada ibunya menguatkan semangat untuk melalui hari mendatang dengan tenang dan tabah.

Ditanya adakah adiknya datang melawat, sambil tersenyum Siti menjawab, ada.
Adiknya datang bersama ibunya sambil tidak berhenti-henti memohon maaf atas apa yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.

“Saya sudah lama maafkan dia, cuma tidak boleh lupakan peristiwa ini sepanjang hidup. Ia memberi impak besar kerana dalam sekelip mata saya hilang segala-galanya,” katanya yang dikenakan hukuman penjara setahun mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

No comments:

Post a Comment