TIDAK semua anak bahagia bersama keluarga masing-masing, ada juga
kalangan mereka yang terpaksa hidup menumpang dengan orang lain kerana
ibu bapa amat sibuk dengan urusan dunia.
Maka membesarlah anak itu dengan orang yang diberi tanggungjawab
mendidik mereka sehingga menjadi manusia walaupun orang yang mendidik
adalah nenek sendiri.
Begitulah mukadimah kisah minggu ini, luahan hati seorang nenek
mengenangkan nasib cucu sulungnya yang tidak dipedulikan ibu bapa
sendiri.
Sehingga ke saat anak hendak diijabkabulkan, mereka masih berlagak
macam orang asing, sehinggakan pada hari pernikahannya, si nenek
menitiskan air mata kerana anak dan menantunya hanya datang sebagai
tetamu,'' demikian cerita Makcik Lina kepada saya.
Untuk teladan dan iktibar, kita ikuti cerita seterusnya sebagaimana yang diceritakan oleh Makcik Lina.
"Saya berusia lewat 50-an, bekas pesara guru. Saya mempunyai tiga
orang anak yang telah mempunyai kehidupan mereka sendiri. Anak sulung
saya lelaki, dan dua anak perempuan.
"Sebagai anak sulung, tentunya dia memikul tanggungjawab berat untuk
menjaga kebajikan saya dan suami, adik-adik serta anak-anaknya seramai
empat orang.
"Anak sulung saya mempunyai tiga orang anak. Yang sulung perempuan,
berusia 21 tahun, anak lelaki berusia 17 tahun dan yang bongsu, anak
perempuan berusia 14 tahun.
"Ketika mereka berkahwin dulu, anak lelaki saya masih terkapai-kapai
untuk hidup. Sama seperti anak saya, isterinya juga berkelulusan
universiti. Secara umum memang saya bangga mempunyai anak dan menantu
berkelulusan tinggi.
"Setelah enam bulan bernikah, menantu saya disahkan mengandung. Tentu
seluruh keluarga amat gembira, lebih-lebih lagi saya dan suami kerana
status saya akan bertukar menjadi nenek.
"Mereka dikurniakan anak perempuan yang diberi nama Amira. Saya amat
gembira dengan kelahiran Amira. Walaupun sibuk mengajar, saya masih ada
masa untuk mendidik dan mengajar Amira sehingga dia berjaya dalam
pelajaran.
"Sebagai ibu, tentunya saya kasihan melihat anak dan menantu terkejar
ke sana sini, mana hendak ke pejabat dan mana hendak menguruskan Amira.
Akhirnya saya menawar diri untuk menjaga Amira sementara mereka mencari
orang gaji atau pengasuh.
"Kegembiraan saya berganda apabila Amira tinggal bersama saya. Ketika
itu, anak perempuan kedua saya belum berkahwin, dia turut membantu
menguruskan Amira.
"Belum pun Amira berusia dua tahun, dia sudah ada adik, begitulah
seterusnya sehingga anak ketiga mereka lahir, Amira seperti tidak ada
dalam kehidupan ibu bapanya.
"Setiap kali saya ajukan pertanyaan bila hendak ambil Amira, anak
lelaki saya akan berkata, tunggu dulu, tunggu dulu. Sehinggalah Amira
masuk sekolah, tidak ada tanda-tanda mereka akan mengambilnya untuk
dijaga. Akhirnya saya nekad tidak akan bertanya lagi sebab saya tidak
mahu hubungan anak dan menantu menjadi renggang disebabkan saya mendesak
mereka mengambil Amira.
"Saya pernah suarakan pandangan supaya mereka mengambil Amira semula tetapi jawapannya tetap sama, dia selamat bersama saya.
" Sepanjang tempoh itu, Amira tidak pernah mengeluh dan tetap menghormati ibu bapanya seperti tidak ada apa-apa berlaku.
"Yang saya sedih, ketika Amira dipinang orang, ibu bapanya tidak
pulang meraikannya kerana berada di luar negara. Biarpun telah saya
maklumkan tentang khabar gembira itu, dua minggu lebih awal, mereka
tetap tidak ambil kisah dengan alasan tiket telah ditempah awal.
"Mereka hanya datang pada hari pernikahan kerana Amira perlukan wali.
Pada hari persandingan, mereka datang sebagai tetamu. Terguris juga
hati saya apabila mereka tidak tidur di rumah saya, sebaliknya menginap
di hotel.
"Amira tidak ambil hati dengan sikap ibu bapanya itu sebab dia lebih
sayangkan saya. Dia kata dia tidak peduli jika ibu bapanya tidak hadir,
asalkan saya ada. Bayangkan anak yang sudah berusia 21 tahun berkata
begitu setelah kehadirannya dalam usia itu seperti tidak wujud dalam
diri ibu bapanya.
"Saya mengaku ia kesilapan saya di peringkat awal tetapi niat saya
hanya untuk membantu meringankan hidup mereka. Tidak ada niat untuk
memelihara Amira sehingga dia dewasa. Malangnya lain pula yang berlaku.
Pada hari pernikahan Amira, saya katakan kepada anak saya (bapa Amira)
yang saya amat sedih dan terkilan dengan sikapnya terhadap anaknya itu.
"Sepatutnya sebagai ibu bapa mereka ambil berat, tunjuk ajar, rasa
gembira kerana anak akan melalui fasa baru dalam kehidupan. Ini tidak,
mereka ingat sekadar bagi duit boleh mengubat hati saya dan Amira?
"Kalau mereka tidak bagi duit pun untuk urusan kenduri, saya boleh
keluarkan duit sendiri. Anak-anak saya yang lain merungut dan marahkan
abang mereka tetapi saya katakan kepada mereka, biarlah Allah yang
tentukan apa yang terbaik untuk mereka.
"Amira dan anak-anak saya yang dua orang lagi memang rapat, ibu dan
bapa saudaranya sangat sayang kepada Amira dan menjadi tulang belakang
kepada majlis pernikahan tersebut.
"Saya sedih kerana keluarga mentua Amira tidak tahu akan nasib
menantu mereka tetapi saya berharap jika mereka tahu sekalipun, biarlah
Amira yang menceritakannya, bukan saya.
"Apa pun saya bersyukur kerana Amira telah selamat menjadi isteri
orang. Semoga dia bahagia bersama suaminya walaupun saya akan
kehilangannya dan akan merinduinya setiap waktu.
"Kepada ibu bapa di luar sana, jangan ketepikan anak-anak yang
dipelihara oleh orang tua anda. Layan mereka seperti anak-anak lain
walaupun anda tidak menjaga dan mendidiknya.
"Kepada ibu bapa pula, jangan terlalu simpati dengan kesusahan
anak-anak, biarkan mereka berdikari dan belajar untuk hidup. Saya
mengaku telah membuat kesilapan dan saya belajar daripada kesilapan itu
dan berharap cucu-cucu saya tidak akan melakukan kesilapan yang sama.
Mudah-mudahan Allah lindungi keluarga saya dunia dan akhirat,'' Makcik
Lina menutup ceritanya.
Begitu cerita Makcik Lina. Saya faham kemelut yang dihadapi oleh
Makcik Lina. Apa pun, tentunya Amira amat terhutang budi dengan neneknya
itu. Saya puji sikap Amira yang tidak menyalahkan ibu bapanya,
sebaliknya menerima takdir hidupnya dengan reda.
Semoga rumah tangga Amira akan kekal ke akhir hayat. Pesanan saya,
jenguk-jenguklah ibu bapa bersama suami jika kelapangan dan jangan
sekali mensia-siakan nenek yang telah mendidik anda sejak kecil hingga
menjadi isteri orang.
Apa yang berlaku, anggap ia sebagai ujian untuk memberi kita yang terbaik dalam hidup ini.
Menutup catatan, jadikan rumah mu sebagai syurga yang diisi dengan
ketenangan dan kasih sayang kerana dua perkara itu amat bernilai serta
memancarkan cahaya yang di penghujungnya ada bahagia.
No comments:
Post a Comment