Saturday 17 March 2012

Pelajar Mati Dipukul Guru Agama-Mengapa?

pelajar kena pukul Pelajar Mati Dipukul Guru Agama Mengapa?
Malaysia sekali lagi digemparkan dengan kes-kes sebegini.Kalau dulu kes pelajar dibuli dan dipukul senior sampai mati, kali ini, kes guru agama pula yang memukul anak muridnya yang berusia hanya 7 tahun sehingga menyebabkan kematian.Mengapa perlu jadi begini?
Kejadian yang berlaku di sebuah sekolah agama di Arau, Perlis ini, merupakan tragedi yang mengecewakan.Lebih-lebih lagi suspek, adalah merupakan tenaga pengajar sekolah agama.Mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, dikatakan diikat di tingkap sekolah agama berasrama tersebut sebelum dibelasah gurunya yang berusia 26 tahun, atas sebab kesalahan mencuri RM 7.
Pelajar tersebut, yang dibelasah hampir 2 jam pengsan selepas kejadian akibat kecederaan di kepala dan tubuh badan akibat dipukul bertubi-tubi, dan tangisan serta rayuan mangsa tidak diendahkan.Dan yang paling tragis, ini adalah kali kedua mangsa dipukul oleh suspek atas disyaki mencuri.
Berikut dibawah adalah sedikit petikan akhbar mengenai kes kejam di atas:
“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.
“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.
“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.
Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.
Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.
“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.
Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.
“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.
Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.
Persoalannya sekarang, adakah perlu seorang guru membelasah pelajarnya sedemikian rupa? Lebih-lebih lagi mangsa hanya berumur 7 tahun.Tidak sepadan langsung dengan suspek yang berumur 26 tahun.Kalau benar pelajar tersebut mencuri, tindakan membelasahnya membabi buta bukanlah jalan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Ada lebih banyak cara yang lebih efektif dan berkesan yang boleh digunakan.Selain itu, guru tersebut juga tidak boleh bertindak tanpa alasan dan bukti yang kukuh.Lebih-lebih lagi kalau dakwaan datang hanya daripada percakapan pelajar-pelajar yang lain.Dengan erti kata lain, hanya syak.
Tindakan membelasah pelajar terbabit bagi kami memang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.Lebih-lagi seorang guru yang berlatarkan pendidikan agama, tidakkah diajar dalam agama mengenai cara mengatasi masalah dan juga mengajar? Kes ini bagi kami sangat berat.Mencabut nyawa seseorang dengan tangan sendiri, hanya kerana atas syak dan wasangka, adalah tindakan yang paling dangkal sekali yang dibuat oleh seorang manusia.
Bagi kami, guru tersebut perlu dikenakan tindakan yang sewajar dan setimpal dengan apa yang telah dilakukannya.Apa pandangan anda mengenai kes ini?
P.S. ada orang yang curi berbilion-bilion pun tak dihukum mati..

No comments:

Post a Comment