Sunday 18 March 2012

Pelajar bunuh kekasih ibu dipenjara

 

Andrew Iskandar





MELBOURNE 17 Mac - Mahkamah Agung New South Wales semalam menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun ke atas seorang pelajar Indonesia kerana membunuh kekasih ibunya, seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pemandu di Konsulat Malaysia di Sydney.
Agensi berita Associated Press Australia melaporkan, Andrew Iskander, 21, berdepan dengan hukuman penjara maksimum 25 tahun kerana membunuh Mohd. Shah Saemin, 43, pada 21 Februari tahun lalu kira-kira pukul 12 tengah malam di Leichhardt, Sydney.
Hakim David Davies juga mengenakan hukuman penjara selama setahun 11 bulan dan 15 hari ke atas ibu Andrew, Nita Iskandar, 48, kerana bersubahat selepas berlakunya pembunuhan tersebut.
Bagaimanapun, hakim membenarkan hukuman penjara ke atas wanita itu ditangguhkan.
Dalam perbicaraan pada November lalu, Andrew memberitahu mahkamah, dia cuba mempertahankan diri dengan sebatang tukul selepas Mohd. Shah menyerangnya dan ayahnya.
Pemuda tersebut menafikan merancang pembunuhan tersebut atau mengetahui mengenai hubungan ibunya dengan Mohd. Shah yang berasal dari Melaka.
Bagaimanapun, pendakwa raya mendakwa 'pembunuhan demi maruah' itu dirancang oleh Andrew dan ayahnya selepas hubungan ibunya itu menjadi perbualan masyarakat Indonesia di Sydney.
Mahkamah pada 29 November lalu pula mendapati Nita bersalah atas dakwaan bersubahat kerana membantu Andrew melarikan diri ke Singapura selepas pembunuhan Mohd. Shah.
Peguam Nita, David Price berkata, anak guamnya hanya mengikut naluri keibuannya apabila dia membantu Andrew meninggalkan negara ini.
"Lelaki yang dicintai dan ingin dikahwininya dibunuh secara kejam di jalan raya kerana suaminya tidak menerima hubungan tersebut,'' kata Price ketika perbicaraan itu, yang dipetik Associated Press Australia.
Beliau berkata, Nita membuat 'keputusan salah' dengan membantu anak lelakinya dan menyebabkan Andrew lewat ditangkap sehinggalah pemuda itu ditahan di Singapura. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment