KUALA LUMPUR 17 Mac - Kerajaan diminta tidak tunduk terhadap
penetapan supaya amah dari Indonesia dibayar gaji RM700 untuk melakukan
satu tugas khusus sahaja selain bayaran RM27 sehari jika bekerja pada
hari rehat.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman berkata, kerajaan juga harus beralih pada sumber dari negara lain bagi memenuhi keperluan pembantu rumah selain Indonesia.
"Mereka yang memerlukan kerja di sini, jadi kenapa kita pula yang
mahu tunduk pada kemahuan itu? Gaji ditetapkan juga amat tidak logik
iaitu hanya untuk melakukan satu kerja," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua
Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga
Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman kelmarin yang mendakwa
penetapan itu dicapai hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama
(JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia.
Maamor berkata, gaji sebanyak itu mungkin bersesuaian sekiranya amah
tersebut adalah pembantu rumah yang terlatih untuk melakukan tugas-tugas
spesifik seperti menjaga orang sakit atau warga emas, namun ia tidak
logik bagi mereka yang hanya berkemahiran asas menguruskan rumah.
Namun katanya, rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mencari
alternatif lain supaya mereka tidak terlalu bergantung dengan pembantu
rumah dari Indonesia.
"Kita boleh mencari negara sumber lain yang bersesuaian yang boleh
bekerja di sini sebagai pembantu rumah. Namun hakikatnya, sesebuah rumah
tangga itu wajar diuruskan sendiri oleh suami isteri kerana lebih
banyak kebaikannya berbanding terlalu mengharap kepada pembantu rumah,"
katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman
pula berkata, kerajaan perlu berunding semula dengan kerajaan Indonesia
supaya syarat-syarat ditetapkan bagi kemasukan amah mereka ke negara
ini tidak boleh dipersetujui.
Katanya, rakyat tempatan berpendapatan rendah atau golongan ibu
tunggal boleh merebut peluang pekerjaan itu sekiranya syarat serupa
ditawarkan sebagai satu alternatif lain bagi mengurangkan kebergantungan
terhadap amah dari republik itu.
Menurutnya, jika perkara itu boleh direalisasikan, kerajaan boleh
menetapkan skim gaji bersesuaian dan pembantu rumah tidak perlu menetap
di rumah majikan bagi menarik rakyat tempatan bekerja di sektor itu.
''Kita lihat seolah-olah pihak Indonesia mengenakan syarat yang tidak
munasabah ekoran adanya permintaan tinggi sedangkan kerja-kerja
mengemas rumah tidak memerlukan latihan secara profesional,'' katanya.
pada puak2 warga asing nie...ni utk korang...klu nk gaji lebih g la keje kat negara korang..ingat malaysia nie wujud untuk bela korang ke...dah la korang dtg malaysia nie buat semak je
ReplyDelete