Sunday, 18 March 2012

Kicap bangkai

KANGAR: Lapan beranak di Taman Merpati, di sini, hampir termuntah apabila menemui bangkai cicak terjulur keluar dari botol kicap digunakan bagi menambah perisa nasi goreng untuk hidangan makan malam, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, bangkai cicak sepanjang dua sentimeter itu terkeluar daripada botol kicap soya pekat ketika seorang guru, Norazura Arip, 32, menuangnya di atas senduk bagi menggoreng nasi.

Norazura berkata, kicap itu sudah hampir habis digunakan bagi menambah perisa pelbagai masakan di rumahnya sejak dibeli dari sebuah kedai runcit di Pasar Borong, dekat sini, sebulan lalu.
Menurutnya, keluarganya sudah menggunakan kicap berharga RM4.80 sebotol mengandungi bangkai cicak sejak sebulan lalu dan sudah banyak masakan menggunakan kicap itu dengan yang terakhir ketika menggoreng nasi untuk hidangan makan malam.

“Saya terkejut dan menjerit apabila bangkai cicak terjulur keluar daripada botol kicap hingga mengejutkan tujuh ahli keluarga termasuk suami, anak dan adik yang menunggu nasi goreng.

“Sebelum itu, saya menyiapkan satu balang rojak menggunakan kicap sama dan makanan berkenaan sudah habis dimakan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, dia yakin cicak yang cukup sifat sudah menjadi hitam dan keras sejak bahan itu dibotolkan pengusahanya.

“Sebaik menyedari bangkai cicak itu, ahli keluarga mula loya dan hampir termuntah kerana menyedari sudah menggunakan bahan perisa itu agak lama, malah satu belanga nasi goreng untuk hidangan malam terpaksa dibuang,” katanya.
Norazura yang juga penolong kanan sebuah sekolah rendah di sini berkata, tidak mungkin cicak itu masuk ke dalam botol kerana dia sentiasa menutup botol dan menyimpan dalam peti sejuk selepas digunakan.

No comments:

Post a Comment