Sunday, 18 March 2012

Campak tuala wanita dari flat

SHAH ALAM: Keadaan kebersihan yang kian merudum di pangsapuri Ilham, TTDI Jaya sejak lima bulan lalu mula mendatangkan ketidakselesaan kepada penghuninya.
Menurut pengadu yang mahu dikenali sebagai Azlin, 34, dia amat tidak berpuas hati dengan keadaan kebersihan yang kebelakangan ini semakin teruk.

“Setiap hari saya akan melihat ada sampah yang dibuang di dalam dan di luar lif. Sampah domestik yang dibuang turut diletakkan di hadapan bilik kecemasan berhadapan dengan pintu lif di setiap tingkat.
“Saya geli kerana hampir setiap hari saya akan melihat najis manusia, kahak, muntah dan air liur di dalam lif ketika hendak pergi kerja. Baunya yang menusuk hidung membuat saya kurang selesa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kakitangan awam itu turut memberitahu penghuni juga seperti bebas membuang hampir apa saja menerusi tingkap rumah masing-masing termasuk tilam, lampin pakai buang, tuala wanita, kayu dan objek- objek keras yang lain.

“Setiap kali saya melalui lorong bawah pangsapuri, saya bimbang ada objek keras yang dibuang dari atas. Ada juga yang mencurahkan air dari tingkap. Pernah berlaku penghuni membuang tilam dari tingkap hingga menyebabkan lampu jalan di bawah lorong rumah saya pecah,” tambahnya lagi.

Sementara itu pihak pengurusan pangsapuri Ilham mendakwa tiada apa yang mampu dilakukan kecuali memberi notis amaran kepada penghuni keempat-empat blok pangsapuri itu.

Pengerusi Pengurusan Pangsapuri Ilham, Mohamed bin Ismail, 53, berkata pihaknya tidak mahu membebankan diri dengan menyaman setiap individu yang mendiami kawasan itu kerana tindakan berkenaan akan mendatangkan masalah yang lebih besar.

No comments:

Post a Comment