Sunday 18 March 2012

‘Kakak tulis dia tak selesa dalam facebook’

MELAKA: “Sehari sebelum kejadian, saya perasan facebook kakak ditulis... tak selesa. Saya tidak pasti sama ada sebab dia mengandung atau kerana masalah lain,” kata Norafifah Sabtu, 18, yang juga adik perempuan kepada Suzila, 27, yang mati dibunuh dengan kejam dipercayai oleh suaminya, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa yang bekerja di bahagian kewangan sebuah syarikat swasta di Ampang dijemput suaminya yang bekerja sebagai penyelia tempat letak kereta di sebuah pasar raya terkenal di ibu negara.

Norafifah yang sangat rapat dengan arwah kakaknya berkata, mereka sekeluarga terkejut dan tidak percaya pada mulanya dengan kejadian itu.
Katanya, ini kerana mangsa tidak pernah menunjukkan tanda berdepan masalah selepas menikahi suaminya setahun lalu, malah mereka kelihatan bahagia dan ceria setiap kali balik menjenguk keluarga di kampung.

Menurutnya, abang ipar dan kakaknya berkenalan dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

“Beberapa hari lalu, arwah sempat hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada emak beritahu dia hendak balik pada Sabtu dan Ahad depan.

“Keluarga kami mahu mengadakan kenduri doa selamat untuk ibu yang akan pergi menunaikan umrah dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Krubong Jaya, dekat sini, petang semalam.

Norafifah berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan cara kematian kakaknya yang juga anak kedua daripada enam beradik.
“Dua minggu lalu, ketika balik ke kampung, kakak tidur bersama saya dan kami sempat berbual. Arwah berseloroh dia mahu belanja kami makan di bandar apabila balik pada 24 dan 25 Mac ini.

“Tak sangka hajatnya tidak sampai kerana ajalnya dijemput awal,” katanya sebak ketika ditemui bersama keluarga menunggu jenazah kakaknya untuk dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Kampung Krubong sebelum solat Maghrib.

Norafifah berkata, mereka sekeluarga hanya mengetahui berita kematian kakaknya selepas membaca berita muka depan Harian Metro.

No comments:

Post a Comment