CUBA anda pejamkan mata dan bayangkan zaman
kanak-kanak dan remaja anda. Kenangan itu pastinya membuatkan anda
tersenyum sendiri.
Mungkin zaman kanak-kanak kita dahulu saat yang menggembirakan.
Berbeza dengan sepuluh tahun kebelakangan ini, usia kanak-kanak bukanlah
bererti kebebasan atau anda benar-benar rasa selamat.
Kematian Nurul Nadirah Abdullah, 5, baru-baru ini menjadi peristiwa yang amat menyedihkan seluruh rakyat Malaysia.
Adakah peristiwa ini sebahagian masalah sosial atau bersangkut paut dengan masalah mental masyarakat?
Menurut Pakar Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga
Pengarah Pusat Inovasi dan Pembangunan Pelajar UPM, Dr. Mohammad Shatar
Sabran, peristiwa ini perlu diambil pengajaran oleh semua pihak agar lebih berhati-hati.
"Apa yang berlaku adalah sebahagian daripada masalah sosial dalam masyarakat," katanya.
Mengikut Teori Ketidaktentuan Sosial, masalah seumpama ini berlaku kerana beberapa faktor yang melibatkan empat peringkat.
Peringkat pertama jelasnya, kerana "sikap'tidak mengapa".
"Kita melihat anak kecil berjalan pergi ke kedai seorang diri, kita
akan kata "tak apa kerana tiada apa yang akan berlaku dan kedai dekat
saja".
"Di sini, masyarakat mencari alasan untuk membenarkan perkara itu
berlaku tetapi apabila ia berlaku barulah masyarakat menyedari perkara
itu sebenarnya menimbulkan masalah besar," ujarnya.
Jelas beliau lagi, peringkat kedua timbul apabila kaedah penyelesaian difikirkan.
Pada peringkat ini, masyarakat akan sibuk untuk memikirkan bagaimana
dan apakah tindakan yang perlu diambil agar masalah tersebut tidak
berulang lagi.
"Pelbagai jawatankuasa akan ditubuhkan untuk tujuan tersebut. Ramai
orang berbincang mengenai kejadian atau kes tersebut," katanya.
Kemudian, pada peringkat ketiga, tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Dr. Mohammad Shatar memberitahu, pada peringkat ini masyarakat atau
pihak yang berwajib akan mengambil tindakan yang telah dipersetujui di
peringkat ketiga.
"Mereka yang melanggar peraturan akan dihukum. Jadi, mereka takut untuk melanggar peraturan tersebut," jelasnya.
Tambah beliau, peringkat keempat iaitu ' mute - diam' adalah peringkat terakhir dalam semua masalah sosial.
"Peringkat ini dipanggil 'mute' kerana masyarakat akan berhenti
membincangkan hal tersebut. Peraturan yang dibuat sebelum ini pun sudah
tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Justeru katanya, selepas peringkat keempat ini, kejadian yang sama
akan berulang lagi kerana lazimnya masyarakat akan berpatah balik kepada
peringkat pertama tadi.
Dengan itu, masalah sosial ini tidak akan berhenti daripada terus berlaku.
Mental suspek
"Manusia yang mempunyai akal waras tidak akan melakukan perkara tidak berperikemanusiaan ini.
"Dari aspek psikologi, suspek mungkin mempunyai masalah mental kerana
dia tidak dapat berfikir secara rasional ketika melakukan aksi
tersebut," ujarnya.
Beliau menjelaskan, perkara ini berlaku mungkin kerana perasaan marah
yang amat sangat kepada mangsa atau keluarga mangsa sehingga hilang
pertimbangan.
Selain itu, suspek mungkin gagal untuk melepaskan perasaan marah atau
benci kepada keluarga, maka sesiapa yang disukai oleh keluarga tersebut
akan dijadikan sasaran.
"Apabila sedar atas perbuatan mereka, suspek akan membunuh dengan apa cara sekalipun untuk melupuskan bahan bukti," katanya.
Nasihat
Justeru, beliau menasihatkan, setiap ibu bapa jangan amalkan budaya "anak saya pandai jaga diri".
"Pastikan anak ditemani rakan lain yang lebih matang atau dewasa jika
mereka perlu keluar ke kedai atau bermain di padang permainan,"
ujarnya.
Dalam keadaan sekarang, kata beliau, tidak salah jika anak-anak
diperingatkan supaya tidak menghampiri atau bercakap dengan orang yang
tidak dikenali walaupun mereka ini meminta tolong.
No comments:
Post a Comment