Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas
soalan saudari mengenai masalah hubungan seksual suami isteri. Tempoh
tiga bulan berkahwin masih muda dan banyak lagi yang saudari dan suami
belum ketahui berkenaan hubungan seks. Anda berdua masih dianggap
'Pengantin Baru'. Mungkin masih tidak lambat untuk saya mengucapkan
tahniah kepada anda berdua yang baharu menjalani gerbang berumah tangga.
Saya kira terdapat juga segelintir wanita yang tidak mengalami klimaks
melalui hubungan seks. Klimaks atau rasa seronok ini dipanggil dalam
istilah perubatan sebagai orgasma ('orgasm'). Jangan gusar dan yakinlah
pada diri sendiri bahawa saudari adalah seorang wanita yang normal.
Saudari sepatutnya berbincang secara terbuka dengan suami mengenai
perkara ini agar beliau lebih memahami. Perasaan kebimbangan terhadap
perkara negatif berkait hubungan seks yang anda pernah dengar juga perlu
diketepikan. Kelak, anda akan mula mengenali keseronokan hubungan seks
suami isteri. Tanamkan semangat yang kental dan usaha bersungguh-sungguh
untuk mengatasi masalah ini. Justeru, kemesraan dan kepuasan hubungan
seks sewajarnya dinikmati kedua-dua belah pihak.
Mengurangkan tekanan
Kepuasan dalam seks merupakan ubat penenang bagi mengurangkan
tekanan. Tekanan dapat diredakan hasil hormon yang dirembeskan selepas
mencapai klimaks. Wanita lazimnya sukar atau lambat mengalami rangsangan
seksual berbanding lelaki. Juga, kepuasan seks wanita berbeza-beza, ada
yang memerlukan orgasma manakala yang lain merasa cukup puas dengan
hubungan seks sahaja. Suami memainkan peranan penting agar sabar
melayani isteri agar isteri dapat mengalami rangsangan seksual dahulu
sebelum kemasukan zakar. Jika tidak, kekeringan faraj juga boleh
menyebabkan rasa sakit dan ini selanjutnya akan membantutkan isteri
untuk terangsang.
Hubungan seks bukan hanya sekadar dorongan nafsu semata-mata. Setiap
perilaku dalam hubungan seks perlulah dilakukan dengan ilmu yang
dipelajari. Ilmu seks perlu turut dipelajari dengan ilmu untuk mengekal
kasih sayang dan cinta suami isteri. Kenikmatan seks bukan untuk
seorang. Kenikmatan seks adalah untuk suami dan isteri yang melakukan
hubungan seks. Setiap pasangan perlu tahu bagaimana untuk memuaskan
pasangannya dan kenapa ia dilakukan.
Saudari tidak perlu mengambil apa-apa ubatan bagi merawat masalah
ini. Saya harap saudari boleh mencuba beberapa tips bagi mengatasi
masalah yang dihadapi atau banyak membaca buku berkenaannya.
Makanan
Untuk pengetahuan saudari ada makanan yang boleh menaikkan nafsu.
Coklat, tiram dan asparagus adalah antara makanan yang boleh menaikkan
nafsu seks. Jadikan ia hidangan utama sewaktu makan malam atau coklat
dan ais krim sebagai pencuci mulut. Makanan bercoklat juga dapat
menaikkan nafsu berahi seseorang. Makan makanan berkhasiat untuk menjaga
badan supaya sentiasa sihat. Badan yang sihat akan membuat otak pun
sihat dan segar. Otak adalah organ seks yang paling utama.
Wangian
Saudari boleh juga mencuba tips yang lain pada masa yang sama. Beli
minyak wangi yang berjenama dan simpan khusus untuk tujuan seks. Wangian
yang bersesuaian akan merangsangkan otak yang merupakan organ seks yang
utama. Begitu juga sebelum melakukan hubungan seks, mandi dengan
haruman lembut dan bersih. Wangikan bilik dengan haruman yang
menyenangkan. Ia akan menimbulkan rasa keselesaan dan kesenangan dan
rasa berahi yang tinggi. Kebersihan diri juga amatlah penting dan patut
diamalkan oleh anda berdua. Mandi dengan haruman dan gosok gigi. Rasa
bersih, selesa dan senang akan menimbulkan kehendak seks yang tinggi.
Anda berdua boleh mulakan hubungan seks dengan pemanasan atau
permainan sebelum hubungan seks ('foreplay'). Mulakan dengan belaian
lembut, mainan lembut dan ciuman manja. Mulakan rabaan tangan dengan
gosokan di belakang badan barulah ia dikembangkan kepada
bahagian-bahagian lain. Ciuman di telinga dan leher akan menimbulkan
rasa berahi kepada wanita dan lelaki. Pastikan semua bahagian badan
dibelai dan dirangsangkan sebelum melakukan hubungan seks. Luangkan masa
10 hingga 15 minit untuk pemanasan sebelum seks.
Peranan suami
Suami saudari juga hendaklah mengenali klimaks wanita. Ramai lelaki
tidak tahu bagaimana wanita klimaks atau mencapai orgasma. Yang lagi
merumitkan, setiap wanita ada caranya tersendiri. Tanda yang biasa
kepada semua wanita sewaktu orgasma atau klimaks adalah berlakunya
serangan kuat berserta badan menggigil dan pelukan kuat diberikan
pasangannya. Jika berkesempatan, akan kelihatan badan memerah terutama
seluruh muka. Pelbagaikan juga posisi seks jika inginkan kelainan.
Permainan selepas hubungan seks ('afterplay') juga penting. Istilah
'afterplay' merupakan gambaran perlakuan pasangan suami-isteri sesaat
setelah berhubungan seksual sebelum tidur atau melakukan kegiatan lain.
'Afterplay' yang hangat dan penuh kasih sayang penting untuk
meningkatkan hubungan seksual. Setiap orang biasanya menjadi lebih peka
antara satu sama lain setelah berhubungan seksual. Ini juga merupakan
saat yang terbaik untuk mengekpresikan cinta dan perhatian pada
pasangan.
No comments:
Post a Comment