Sunday 18 March 2012

Ikhtiar jaga maruah

KUALA LUMPUR: Keadaan terdesak menyebabkan ada wanita sanggup mengahwini mana-mana lelaki demi menutup rahsia mereka hamil anak luar nikah.
Asalkan ada suami dan bapa untuk dibin atau dibintikan, perkahwinan dengan pak sanggup perlu diuruskan secepat mungkin sebelum perut yang semakin memboyot memecahkan rahsia.

Biasanya perkahwinan itu diurus keluarga perempuan dan lelaki yang dipilih tiada pilihan untuk menolak, biarpun berasa dirinya terpaksa menanggung beban atas keterlanjuran orang lain.
Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Zain, berkata firmanya pernah mengendalikan kes lelaki yang dipaksa menjadi pak sanggup dengan mengahwini seorang wanita yang ada kaitan saudara, beberapa tahun lalu.

“Perkahwinan dengan pak sanggup berlaku pada segelintir wanita apabila lelaki yang menjalin hubungan terlarang dengan mereka, enggan bertanggungjawab dan meninggalkan wanita itu terkontang-kanting selepas hamil.

“Pernikahan di antara lelaki berusia pertengahan 20-an itu dengan wanita yang jauh lebih tua daripadanya diuruskan keluarga kedua-dua pihak.

“Mereka memilih lelaki berkenaan sebagai calon suami kerana ada pertalian keluarga bagi mengelakkan rahsia serta aib keluarga terbongkar,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, walaupun tanpa rela, lelaki itu menikahi wanita berkenaan bagi menghormati keputusan keluarga, namun mereka tidak pernah ‘bersama’ sepanjang perkahwinan.
“Selepas wanita berkenaan melahirkan anak dan berpantang, lelaki itu memfailkan perceraian dan atas persetujuan bersama, mereka ke mahkamah untuk bercerai.

“Lelaki itu mengatakan dia langsung tiada hati terhadap wanita berkenaan. Malah, anak yang lahir juga diserahkan kepada wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kelahiran anak luar nikah memberi imej sosial kurang baik di kalangan masyarakat, malah implikasi lebih besar harus ditanggung si anak.

“Soal keturunan yang tidak menentu menimbulkan masalah daripada segi warisan harta kerana anak tidak sah taraf tidak boleh mewarisi harta sebelah bapa.

“Malah, jika anak itu meninggal dunia dan memiliki harta, bapa zina tidak layak mewarisi hartanya kerana mereka tiada pertalian keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment