KUALA LUMPUR 17 Mac - Keluarga wanita hamil yang dipercayai dibunuh
suami sendiri di Sungai Besi di sini, semalam, yakin mangsa menghadapi
masalah rumah tangga sejak berkahwin dengan suspek setahun lalu, namun
tidak pernah berkongsi perkara itu dengan mereka.
Keluarga Suzila Sabtu, 27, mengesyaki mangsa memendam masalah rumah
tangga selepas dilihat menunjukkan perubahan daripada seorang yang ceria
kepada pendiam.
Adik mangsa, Mohd. Azzumar Sabtu, 24, berkata, selain dikejutkan
dengan berita kematian Suzila, keluarganya juga terkejut apabila
dimaklumkan mangsa hamil lapan minggu.
"Sebelum kahwin, Suzila ceria, tapi lepas berkahwin dia tidak banyak
bercakap dan jadi pendiam. Apa-apa masalah dalam rumah tangga dia tak
pernah maklumkan kepada kami termasuklah dia telah hamil.
"Kami pula tidak dapat nak hidu apa-apa masalah, sebab mereka baru
berkahwin dan masih dalam proses untuk mengenali," katanya ketika
ditemui di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
(PPUKM) di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Suzila ditemui mati dengan kesan kelar di leher
dan beberapa kesan tikaman di bahagian badan di rumahnya di Flat Seri
Permai yang dipercayai dilakukan oleh suaminya.
Mohd. Azzumar memberitahu, Suzila pulang ke kampung di Taman Kerubung
Jaya, Melaka dua minggu lalu untuk menziarahi keluarga, namun tidak
memberitahu sebarang masalah.
Katanya, jenazah Suzila akan dibawa pulang ke Melaka untuk pengebumian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan
Singh Tara Singh, berkata, hasil bedah siasatan mendapati Suzila
meninggal dunia akibat tikaman di dada.
"Bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di badan dan
dada serta kesan luka di tangan, dipercayai semasa mangsa hendak
mempertahankan diri.
"Mangsa disahkan hamil lapan minggu, manakala motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, suspek yang ditahan sejurus selepas kejadian direman selama
tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment