Sunday 18 March 2012

Buntu jemput 2 anak

TASEK GELUGOR: “Selepas tersiarnya berita kehilangan anak saya di Harian Metro (HM) Khamis lalu, malamnya kedua-dua anak saya ditemui di Melaka.
“Saya bersyukur mereka selamat tetapi yang menjadi masalah ketika ini, saya diminta menjemput kedua-duanya, sedangkan saya tiada wang untuk ke sana.” Itu dilema ibu tunggal, Siti Zabedah Hashim, 43, yang kehilangan dua anaknya, Nurul Wahida Hidayah Abdullah, 13, dan Mas Isnani Syawal, 11, sejak tiga minggu lalu sebelum ditemui semula Khamis lalu.

Menurutnya, dua anaknya ditemui orang ramai melalui laporan HM sebelum diserahkan kepada polis yang kemudian menghantar anaknya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“JKM hubungi saya dan minta saya datang ambil kedua-duanya. Saya memang hendak ke sana, tetapi tidak mampu.

“Tambang bas lebih RM40 seorang dan untuk pulang ke sini, kosnya tinggi. Saya berharap ada pihak sudi membantu, hampir setiap hari saya menangis kerana rindukan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pokok Tampang, di sini, semalam.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan dua anak Siti Zabedah menghilangkan diri, dipercayai mengikut remaja lelaki Myanmar yang memaksa mereka mengemis.

Siti Zabedah berkata, hampir 10 kali anaknya melarikan diri ke seluruh negara mencari pendapatan dengan mengemis.

Ibu kepada enam anak itu yang juga menghidap sakit buah pinggang tidak mampu bekerja dan hanya bergantung dengan wang bantuan JKM berjumlah RM450 sebulan.
Dia bersama anaknya kini menetap di rumah sewa dengan bayaran RM180 sebulan.

Menurut Siti Zabedah, dia terlalu merindui anaknya yang menjadi penyerinya setiap hari dan berharap dapat menemui mereka dalam waktu terdekat.

No comments:

Post a Comment