Sunday 18 March 2012

Saman tiga dalam satu

KUALA LUMPUR: Tiga dalam satu. Dua pemilik kenderaan terkejut apabila masing-masing menerima notis saman bagi kesalahan trafik sama tetapi berlainan seksyen dan subseksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di lokasi dan masa sama.
Aw Lai Fong, 39, dan Lim Teck Ang, 40, berkata saman berkenaan menyatakan mereka meletakkan kenderaan di luar kawasan parkir dan kesalahan itu dikaitkan dengan tiga seksyen dan subseksyen APJ 1987.

Antara seksyen dan subseksyen dinyatakan ialah Seksyen 79 (2) Tidak Mematuhi Isyarat (Papan Tanda Trafik) Lalulintas, Peraturan 16 (1) Meletak Kenderaan Menyebabkan Halangan Yang Tidak Dikehendaki, Peraturan 16 (2) Meletak Kenderaan Tidak Mengikut Haluan dan Peraturan 12 (1) Letak Kenderaan Dalam 30 Kaki Dari Simpang.

Mengikut saman diterima Aw, pada jam 12.20 tengah hari 14 September 2011, kereta Proton Wira miliknya diparkir di bahu Jalan Metro Perdana 3, Kepong, berikutan tiada petak parkir kosong di depan kondominium Fortune Avenue yang juga kediamannya.

“Di situ (bahu jalan) ada beberapa kereta lain diparkir dan ia situasi biasa di kawasan berkenaan. Tambahan pula, tiada garisan putih mahupun kuning di jalan terbabit.

“Sebelum saya membuat aduan kepada Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Gerakan, saya berniat membuat pembayaran.


“Apabila tiba di balai polis, saya dimaklumkan perlu membayar RM800 kerana tawaran kompaun melebihi 30 hari bagi tiga jenis kesalahan dalam satu saman sama.

“Jumlah itu sangat besar dan ia membebankan saya yang hanya bekerja menjahit langsir. Tambahan pula, saya lewat menerima notis berkenaan berikutan sudah bertukar alamat,” katanya ketika di temui, semalam.

Sementara itu, Lim mendakwa pada 6 Disember 2011, dia tidak mempunyai urusan di Jalan Prima 3, Kepong berikutan membawa anaknya ke klinik. Perkara itu diketahui apabila dia menyemak diari hariannya pada waktu dan tarikh dinyatakan dalam saman berkenaan.

“Saya kerap melalui jalan terbabit tetapi yang pasti, saya tidak pernah meletakkan kereta di laluan berkenaan pada masa itu mahupun sebelumnya.

“Menghairankan apabila saman itu menyatakan saya melakukan tiga jenis kesalahan pada waktu sama. Saya tak puas hati dan terasa dianiaya. Harap polis dapat memberi penjelasan mengenai hal ini,” katanya.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Gerakan, Wilson Lau, meminta polis mengambil berat perkara itu kerana bimbang ia menjejaskan nama baik pasukan keselamatan.

Berikutan itu, Lau mencadangkan setiap kesalahan jalan raya dirakam dan gambar itu dilampirkan bersama notis saman yang dihantar kepada pesalah trafik bagi mengelakkan kekeliruan.

Berikutan itu, beliau akan menghantar surat kepada Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abd Aziz Yusof, esok.

Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, siasatan perlu dijalankan terlebih dulu berhubung perkara berkenaan.

No comments:

Post a Comment