Tuesday, 20 March 2012

Pengaruhi tabiat tidur

ASYIK...tanpa pemantauan ibu bapa, komputer boleh menyebabkan anak-anak leka.
ASYIK...tanpa pemantauan ibu bapa, komputer boleh menyebabkan anak-anak leka.
GAJET...bukan saja golongan dewasa, si kecil juga mudah jadi taksub kepada pelbagai jenis gajet masa kini.
GAJET...bukan saja golongan dewasa, si kecil juga mudah jadi taksub kepada pelbagai jenis gajet masa kini.
“KETIKA suami mula membelikan komputer tablet untuk anak-anak, mereka begitu teruja sehinggakan tidak boleh berenggang walaupun sesaat. Komputer tablet itu dikelek ke mana saja malah masing-masing menetapkan masa penggunaan bagi mengelak bergaduh sesama sendiri.
“Pernah satu ketika oleh kerana tidak mahu saya mengetahui mereka bermain permainan video, mereka sanggup bermain di dalam selimut,” demikian kata Nurhuda Khalid, 38, ibu kepada tiga anak mengenai kegilaan anak-anaknya terhadap barangan teknologi seperti komputer tablet, komputer riba, iPod nano dan iPod touch serta telefon bimbit.
Sebelum ini, mereka hanya menggunakan komputer riba untuk bermain permainan video namun selepas menerima komputer tablet, mereka terus memuat turun segala bentuk permainan video yang boleh diperoleh secara percuma.

“Pada mulanya saya hanya membenarkan program berbentuk pelajaran membabitkan pembacaan, pengiraan dan bahasa. �Lama-kelamaan apabila sudah mahir mereka memuat turun permainan yang dirasakan memberi keseronokan,” katanya yang mempunyai tiga anak, Julia Natasha Nadzir, 11, Jasmin Liana Nadzir, 9, dan Juliana Alisa Nadzir, 6.


Menurut Nurhuda, sebagai ibu pada mulanya dia memberi sepenuh kepercayaan kepada anak sulungnya, Julia memilih perisian yang dirasakan sesuai, namun keghairahan mereka terhadap gajet begitu berlebihan sehingga sanggup mengabaikan waktu makan, lupa tidur, bergaduh sesama sendiri dan lambat menyiapkan kerja sekolah.

“Oleh kerana mereka tidak dapat mengawal diri akibat leka bermain permainan video akhirnya saya mengehadkan masa kepada hujung minggu saja. Itu pun selepas menyelesaikan kerja sekolah bukan saja pada penggunaan komputer riba, tetapi termasuk telefon genggam dan iPod nano.

“Saya terpaksa membuat peraturan sebegitu sebelum mereka menjadi lebih obses terhadapnya. Lagipun saya bimbang kesihatan mereka terjejas sekiranya terlalu lama terdedah kepada skrin komputer,” ujarnya.

Walaupun tidak menolak komputer mempunyai banyak kebaikan namun sebagai ibu, dia harus memantau perkembangan anak-anaknya. Takut sekiranya mereka menggunakannya untuk perkara yang salah. Maklumlah sekarang, pelbagai perkara boleh berlaku, dengan hanya satu klik sesiapa saja boleh melihat aplikasi dipilih.

Nurhuda juga tidak membenarkan anak-anaknya membuka akaun facebook kerana belum tiba masanya. Lagipun mereka masih bersekolah dan tidak perlu berkomunikasi dengan rakan sebaya menerusi alam maya.

“Oleh kerana di sekolah kebanyakan rakan mempunyai facebook, jadi anak-anak turut mendesak supaya mereka mempunyainya, namun saya menolak kerana takut kesan negatif terhadap perkembangan sosial. Biarlah mereka tidak terdedah sebelum sampai waktunya,” ujarnya.

Julia yang bersekolah di Sekolah Sapura Smart dalam tahun lima mengakui, guru di sekolah banyak menggunakan Internet dalam pembelajaran di kelas. Guru mengajar mencari bahan dan gambar menerusi pencarian Google.

“Apabila pulang ke rumah, saya menggunakan komputer riba untuk menyelesaikan kerja sekolah. Jika dulu saya boleh menggunakannya pada bila-bila masa, tetapi kini ibu banyak memantau dan hanya memberikan komputer untuk menyelesaikan tugasan saja. Bermain permainan video hanya pada hujung minggu, itupun mengikut had masa ditetapkan,” katanya.

Menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr Norzila Mohamed Zainudin, kanak-kanak yang terdedah terlalu lama kepada skrin komputer boleh menyebabkan masalah pada penglihatan mereka.

Mata yang tertumpu pada jarak yang sama untuk jangka masa panjang menyebabkan kelesuan, terikan dan kekeringan mata kerana tidak cukup berkelip sehingga menyebabkan masalah yang lebih serius seperti sakit kepala dan kabur penglihatan.

“Bagi kanak-kanak, sistem penglihatan mereka masih sedang membangun. Oleh itu mereka memerlukan rangsangan menerusi dunia nyata seperti melihat objek pada jarak jauh dan dekat, rata, pegun, bergerak, tiga dimensi serta warna berbeza. Dengan melihat skrin komputer, kanak-kanak hanya memandang objek statik menerusi skrin dan mata tidak berfungsi secara baik,” katanya.

Selain itu, ramai ibu bapa tidak sedar apabila kanak-kanak menggunakan komputer untuk tempoh yang panjang, ia memberikan tekanan kepada otot, tendon, saraf pada leher, belakang, lengan, pergelangan tangan dan jari serta mendedahkan mereka kepada risiko sindrom gerakan berulang.

Bagaimanapun, masalah ini mungkin lebih serius bagi kanak-kanak. Ini kerana otot dan sistem rangka mereka tidak sepenuhnya terbentuk dan mungkin terjadinya risiko yang lebih besar untuk mendapat kecederaan.

“Ini berlaku kepada kanak-kanak yang cenderung menggunakan komputer bersaiz orang dewasa. Biasanya komputer diletakkan di atas meja berukuran tinggi dengan kedudukan lebih jauh sesuai untuk pengguna dewasa. Keadaan ini memberi kesan kepada postur tulang belakang apatah lagi sekiranya mereka bermain komputer selama berjam-jam.

“Ada pula ibu bapa membenarkan anak-anak menggunakan komputer riba atau tablet secara duduk, berbaring atau meniarap. Keadaan ini turut mempengaruhi perkembangan tubuh anak-anak sekiranya mereka terlalu lama terdedah kepadanya,” kata Dr Norzila.

Ini terbukti menerusi beberapa kajian di luar negara yang mendapati wujudnya masalah postur dan tulang belakang kanak-kanak akibat terlalu lama bermain permainan video. Kesan ini sama seperti orang dewasa yang terdedah kepada pelbagai masalah otot dan sendi yang boleh menyebabkan sakit belakang, leher dan kepala.

Terdapat juga kerisauan mengenai masalah berat badan kanak-kanak yang dikaitkan dengan komputer.

Menurut Dr Norzila, kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa di hadapan komputer cenderung untuk kurang melakukan aktiviti fizikal. Ini menyebabkan otot tidak bergerak dan badan tidak berpeluh. Sedangkan apa yang diperlukan kanak-kanak ialah menjalankan pembangunan kekuatan otot, penyelarasan dan ketahanan menerusi aktiviti senaman yang mampu membakar kalori dalam badan.

“Apabila mereka kurang bersenam, ini akan meningkatkan risiko kegemukan, penyakit jantung dan kencing manis. Ada juga kes kanak-kanak mengalami kekurangan berat badan disebabkan keasyikan bermain permainan video sehingga lupa makan. Ini turut menjejaskan perkembangan fizikal dan mental serta mempengaruhi pembelajaran di sekolah,” katanya.

Kajian juga menunjukkan terlalu obses pada komputer atau gajet akan mempengaruhi tabiat tidur di kalangan kanak-kanak. Ini kerana apabila bermain, mereka akan leka dan tidur sehingga lewat pagi.

“Apatah lagi komputer riba dan tablet yang boleh dibawa ke mana saja sehingga ke tempat tidur menyebabkan mereka asyik bermain sehingga tidak sedar masa berlalu. Tidur lewat akan menjejaskan emosi, tingkah laku dan pembelajaran di sekolah,” jelasnya.

Senario pada masa sekarang ramai ibu bapa mendedahkan komputer tablet kepada anak seawal usia sedangkan pendedahan pada usia terlalu awal iaitu dua tahun ke bawah akan mempengaruhi kesihatan dan psikologi kanak-kanak.

Ini diakui Pakar Psikologi dan Perkembangan �Kanak-kanak, Dr Gregory Jantz yang mengesahkan terdapat polisi daripada Akademi Pediatrik Amerika yang menggesa ibu bapa supaya membebaskan anak-anak daripada skrin komputer dalam tempoh dua tahun pertama usia mereka.

Katanya, program televisyen, video dan permainan komputer termasuk yang kononnya direka untuk bayi dan kanak-kanak seawal usia dua tahun tidak memberi manfaat pendidikan, sebaliknya menimbulkan risiko pembangunan sosial dan emosi.

“Kanak-kanak di bawah usia dua tahun seharusnya belajar membangunkan diri menerusi permainan kreatif dan bereksperimen dengan persekitaran bukannya skrin televisyen atau monitor. Komputer tidak boleh menawarkan apa-apa perkembangan yang sesuai untuk kanak-kanak di bawah dua tahun.

Pengalaman pendidikan terbaik membabitkan interaksi dengan orang dewasa dan kanak-kanak lain, aktif secara fizikal, meneroka persekitaran dengan menggunakan semua deria dan belajar untuk berkomunikasi,” ujar Dr Jantz.


Panduan mengurangkan risiko kesihatan:

Mengehadkan masa di hadapan komputer.

Ibu bapa harus mengehadkan masa bermain kepada lima belas minit saja, kemudian minta anak berehat dengan memandang alam sekitar kemudian menyambung semula sekiranya perlu. Sebaiknya hadkan masa penggunaan kepada satu jam sehari.


Pencahayaan yang baik.

Ibu bapa digalakkan menyusun semula perabot supaya sumber cahaya tidak bersinar terus pada muka atau terus ke skrin monitor bagi mengelak mata berair atau kering. Pastikan skrin dilaraskan dengan betul dari segi kontras dan kecerahan. Segera berunding dengan pakar mata sekiranya anak anda mengadu penglihatan mereka kabur atau sakit kepala kerana mereka mungkin mempunyai masalah mata.


Susunan perabot.

Pastikan perabot digunakan tepat untuk ukuran kanak-kanak. Kerusi menyediakan sokongan belakang yang baik dan selebihnya kaki anak anda mencecah lantai atau diletakkan satu kotak supaya mereka dapat memijaknya. Apabila tangan anak anda berada pada papan kekunci, siku mereka seharusnya berada di bawah. Skrin seharusnya berada pada tahap sama dengan kepala untuk mengelakkan ketegangan.


Menawarkan makanan ringan dan minuman yang sihat.

Bagi mengelak masalah kegemukan atau kekurangan berat badan, ibu bapa digalak menyediakan makanan dan minuman berkhasiat kepada anak-anak. Galakkan juga anak melakukan aktiviti fizikal bagi mengeluarkan peluh.


Elak duduk di meja.

Bagi anak kecil, mereka tidak digalakkan duduk di meja komputer kerana ini menyebabkan kecederaan seperti terjatuh. Ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak atau simpan komputer riba, tablet atau gajet anda di tempat yang tidak boleh dicapai anak-anak.

No comments:

Post a Comment