Tuesday 20 March 2012

Masalah Disiplin, Shahrizal Jaszle Mengaku Salah

Masalah Disiplin, Shahrizal Jaszle Mengaku Salah 
Saya tahu saya salah, saya minta maaf,” ujar pelakon Shahrizal Jaszle ketika diajukan soalan mengenai masalah disiplin yang melibatkan dirinya sejak kebelakangan ini. Shahrizal atau lebih dikenali sebagai Shahz Jaszle sering datang lewat ke lokasi penggambaran sehinga menyusahkan pelakon dan kru produksi yang lain.
“Setiap kali lambat, saya akan minta maaf. Sejak kebelakangan ini saya susah bangun awal. Saya jarang tidur dan saya pun tak tahu kenapa saya susah nak tidur dan bangun awal. Mungkin saya menghidap insomnia, tapi saya belum pergi periksa lagi.
“Setakat ini saya tak pergi klinik lagi cuma saya ada ambil ubat yang diberi oleh kakak saya yang juga merupakan seorang doktor. Pernah saya makan ubat itu dan tidur sampai dua hari, lepas itu saya terus berhenti dari ambil ubat itu lagi. Apa-apapun, saya akan cuba cari jalan untuk ubati masalah saya ini,” ujar Shahz ketika ditemui pada majlis ramah mesra drama ‘3 Janji’ di Sri Pentas 3, Bandar Utama, petang semalam.
Ditanya adakah penyakitnya ini ada kena-mengena dengan masalah hubungan cintanya dengan pelakon Miera Liyana, Shahz menjawab, “Tak ada kena-mengena. Masalah ini berlaku sejak dua bulan lalu dan saya sendiri tak tahu kenapa. Kadang-kadang, jika terlalu penat pun, tak boleh tidur juga.
“Atau mungkin juga sebab bapa saya masuk hospital hari itu agaknya. Dia dah umur 71 tahun dan hari itu dia jatuh dan kena jahit. Jadi, sekarang ini saya kena jaga bapa saya. Apa-apapun, saya akan cuba ubati masalah saya ini secepat mungkin. Saya cadang nak cari pengurus baru, tapi lepas apa yang bekas pengurus saya buat kepada saya sebelum ini, saya lebih berhati-hati memilih pengurus.”
Menyentuh mengenai wataknya dalam ‘3 Janji’, Shahz memberitahu, “Saya memegang watak sebagai Khursyi, seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab. Kursyi bercinta dengan Dalia namun Kursyi mati dalam satu kemalangan. Selepas lima tahun, Dalia terjumpa dengan Kamil, yang mempunyai rupa seiras dengan Kursyi. Kamil sangat negatif terhadap perempuan sebab dia mempunyai pengalaman buruk melibatkan ibu dan kakak iparnya,” ujar Shahz yang sudah bekerja di bawah arahan Heykal Hanifah sebanyak empat kali.
“Heykal adalah pengarah kegemaran saya. Sebelum ini saya pernah berlakon drama ‘Asmara’, ‘Asmara 2’ dan ‘Jiwa dan Lara’ di bawah Heykal. Saya senang untuk bekerja dengan dia. Semua yang dia cakap saya mudah faham.”
Selain Shahz, drama ini turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Shah Iskandar, Ana Dahlia, Idzham Ismail, Hanez Suraya, Ungku Ismail, Roy Azman, Ainina Ahmad B, Rosnah Johari dan ramai lagi. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama ‘3 Janji’ terbitan HNJ Production Sdn Bhd, pada setiap hari Selasa, jam 9.00malam hanya di slot Lestary TV3.

No comments:

Post a Comment