Saturday 17 March 2012

Malaysia Airlines (MAS) vs Air Asia. Kesan Penjualan Saham MAS Kepada Air Asia?

FOMCA gesa MYCC Menyiasat Kesan Penjualan Saham Bersilang Airasia & Malaysia Airlines (MAS) 

  1. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) supaya menyiasat proses penjualan saham bersilang antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan syarikat penerbangan premium MAS.
  2. Penjualan saham bersilang itu menyaksikan pemegang saham utama AirAsia, Tune Air Sdn Bhd memegang 20 peratus saham dalam MAS, manakala Khazanah Nasional Bhd, iaitu pemegang saham utama MAS, memperoleh 10 peratus saham dalam AirAsia.
  3. Rentetan daripada penjualan bersilang itu, MAS telah menamatkan perkhidmatan penerbangan tambang murah anak syarikatnya, Firefly bagi sektor Sandakan-Kota Kinabalu-Kuala Lumpur, bermula 1 Disember, 2011. Ini menyebabkan perkhidmatan penebangan bagi sektor tersebut hanya dikendalikan oleh AirAsia sahaja. Mahu monopoli? Selepas AirAsia tidak mampu bersaing sejak MAS memperkenalkan Firefly?
  4. Selain itu, AirAsia X pula telah menghentikan perkhidmatannya ke London, Paris, Mumbai dan New Delhi, yang menyebabkan laluan tersebut memberikan lebih banyak peluang perniagaan kepada MAS. Maknanya tiada persaingan selepas ini?
  5. FOMCA meminta MYCC menyiasat sama ada penjualan saham bersilang tersebut telah menyebabkan kedua-dua syarikat penerbangan ini telah mengadakan analisis perbandingan terhadap tambang perkhidmatan dan menjadualkan semula laluan perkhidmatan bagi mengurangkan persaingan.
  6. Aduan terhadap penjualan saham bersilang AirAsia dan MAS kepada MYCC adalah berdasarkan kepada berkuat kuasanya Akta Persaingan 2010 pada 1 Januari 2012.
  7. FOMCA telah lama melobi supaya akta seumpama ini diwujudkan semenjak tahun 1998. Pada tahun 2005, FOMCA telah menerbitkan buku bertajuk “Consumer Policy and Consumer Protection in Malaysia”, manakala pada tahun 2011, sebuah buku yang berjudul “Kepentingan Dasar Persaingan Kepada Pengguna” telah diterbitkan.
  8. Dengan berkuat kuasanya Akta Persaingan 2010, persaingan yang sihat dalam sektor perniagaan dapat diwujudkan. Ini akan membolehkan pengguna menikmati harga barangan yang lebih rendah, lebih banyak pilihan barangan, kesediaan barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dan pembangunan produk dan perkhidmatan yang baru.
  9. Walau bagaimanapun, kejayaan akta ini bergantung pada keberkesanan MYCC dalam menguatkuasakan peraturan dalam Akta Persaingan. FOMCA turut menyatakan kekesalannya kerana tidak ada wakil persatuan pengguna sebagai ahli Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
  10. FOMCA turut menggesa MYCC bertindak secara agresif dalam mewujudkan persaingan yang sihat dalam pasaran di Malaysia dan menghentikan amalan monopoli, yang pada masa ini, didakwa telah mengawal harga dan bekalan barangan serta perkhidmatan. Dalam masa yang sama, MYCC juga perlu menghentikan herotan yang berlaku di pasaran yang menyebabkan pengguna mengalami kesan yang negatif dari segi harga, kualiti dan pilihan.
  11. FOMCA akan terus memantau dan membuat aduan terhadap sektor perniagaan yang berkemungkinan mengamalkan perniagaan bersifat anti persaingan bagi melindungi kepentingan dan kebajikan pengguna.
  12. Dalam masa yang sama, FOMCA turut mendedahkan pengurangan kualiti perkhidmatan AirAsia. Dalam tempoh 2009 hingga 2011, aduan terhadap AirAsia yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) meningkat sebanyak 10 peratus.
  13. Antara aduan yang diterima adalah berkaitan dengan khidmat pelanggan yang tidak memuaskan, kelemahan dalam menyelesaikan pertikaian pelanggan, bayaran panggilan ke pusat panggilan yang tinggi dan kekerapan penangguhan penerbangan.

No comments:

Post a Comment