Sunday 18 March 2012

Detik di ambang maut

IPOH: “Sebelum ini, saya pernah makan enam biji durian sekali gus dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Serangan jantung itu mungkin berlaku disebabkan pelbagai makanan yang saya makan sebelum turun ke padang seperti sambal belacan dan air kelapa,” kata Datuk Malek Noor ketika ditemui di Hospital Pantai Ipoh (HPI) di sini semalam.
Bekas jaguh bina badan negara itu diserang sakit jantung selepas lima minit sepak mula perlawanan bola sempena Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak, di sini, malam Rabu lalu sebelum dikejarkan ke HPI untuk menerima rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya kini bertambah baik selepas dipindahkan dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa petang kelmarin.
Ketika menceritakan detik cemas di ambang maut pada malam itu, Malek berkata, ketika berada di atas pengusung, dia terfikir mungkin ajalnya sudah tiba namun berdoa kepada Allah supaya tidak mahu meninggal dengan cara itu (di atas padang bola). Menurutnya, dia juga sempat mendengar seseorang membisikkan kalimah syahadah di telinganya dan mengulangi ucapan kalimah itu dan menyebut ‘Allahuakbar’ beberapa kali.

“Degupan jantung saya semakin lemah dan saya tidak sedar ketika dalam ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Malah, saya juga terpaksa diberi alat renjatan pada dada supaya degupan jantung kembali normal ketika dalam ambulans sehingga tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum dipindahkan ke HPI,” katanya.

No comments:

Post a Comment