Saturday, 31 March 2012

bayi lelaki ditemui mati dalam keadaan menyedihkan


                

KUALA LUMPUR: Hanya sehari selepas penemuan janin berusia empat bulan tanpa kepala di loji kumbahan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang, seorang lagi bayi lelaki ditemui mati dalam keadaan menyedihkan selepas kepalanya pecah dipercayai terhantuk pada dinding longkang ketika dihanyutkan arus di longkang PPR Intan Baiduri, Jinjang, di sini, semalam.

Kejadian menyayat hati itu disedari seorang pekerja kontrak membersih sampah yang terlihat mayat bayi terbabit terapung dalam longkang berhampiran tasik taman rekreasi di PPR Intan Baiduri, jam 10.30 pagi.

Pekerja terbabit, Rafu’si Ahmad, 40 tahun, berkata individu yang melakukan perbuatan terbabit kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana membuang bayi itu.

“Hati saya tersentuh dan berasa kasihan ketika melihat keadaan mayat bayi itu.

“Sepanjang dua tahun bekerja di sini, ia kali pertama menyaksikan kejadian pembuangan bayi dan lebih menyedihkan bayi itu ditemui dalam keadaan menyedihkan,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, Rafu’si berkata, dia terkejut apabila melihat seorang bayi ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan itu, malah menyangka bayi itu anak patung yang tersangkut di dalam perangkap sampah.

Menurutnya, perasaan ingin tahu yang kuat menyebabkan dia mengangkat objek yang seakan-akan bayi itu menggunakan penyauk dan terkejut apabila mendapati objek itu bertali pusat dan berkaki.

“Saya berlari mendapatkan seorang lelaki yang memancing di tasik berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepadanya.

“Kami berpatah semula ke tempat kejadian dan meminta bantuan penduduk yang kemudian menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu ditemui bersama uri tersangkut di dalam perangkap sampah dalam longkang di PPR Intan Baiduri oleh seorang pekerja kontrak membersih sampah.

Menurutnya, mayat bayi cukup sifat itu pecah di kepala dipercayai akibat terhantuk pada dinding konkrit ketika dihanyutkan arus air.

“Kami percaya bayi itu dibuang tidak kurang dari 24 jam dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 318, Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Metro

No comments:

Post a Comment